BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday, 10 June 2011

BERTAUBAT DARI SEGALA DOSA

Merenung kembali peristiwa lampau yang menyebabkan kita menanggung dosa. Tidak rugi dan tidak hina kita bermuassabah dan mengaku kepada Allah s.w.t. Malahan Allah berbangga dengan hambanya yang mengaku kesalahannya dan memohon ampun dengannya. Kesilapan dan kesalahan terbahagi kepada perkara berikut:
Diri Sendiri
Lihatlah perjalanan kehidupan kita selepas umur baligh dan berakal. Bagaimana penglibatan kita berkaitan hukum haram dan makruh. Perlaksanaan hukum Fardu Ain seperti menuntut Ilmu, Solat kita bagaimana, puasa kita bagaimana dan zakat kita bagaimana. Setelah kita membuat perhitungan, ambil langkah dari sekarang melakukan pembetulan dan penambahbaikan. Jika ada kekurangan kita memohon keampunan kepada Allah s.w.t atas kelemahan dan kealpaan kita. Seterusnya bertaubat dan diiringi solat taubat.
Allah s.w.t
Dalam kehidupan kita mungkin kita tidak sedar atau perasan sikap kita kepada Allah s.wt samada dalam hati, lisan dan perbuatan memyebabkan kita telah mendustakan apa yang dinyatakan Allah. Mungkin kita melakukan apa yang diperintah oleh Allah s.w.t tapi hati kita masih ragu dan tidak rela. Tingkah laku yang kita buat tidak bertepatan kehendak Allah, menyebabkan orang bukan Islam menyatakan apa yang kita buat itu adalah ajaran Islam. Sebagai contoh, orang Islam bergaduh sesame mereka, maka orang bukan Islam akan mengatakan “Islam suruh umatnya bergaduh”. Maka marilah kita telitikan balik dan banyak beristifar dan meninggalkan dari bercakap dan melakukan perkara yang tidak disuruh oleh Allah.
Ibu dan Bapa
Kenangkan jasa kedua ibu bapa kita yang menjaga dari kecil sehingga dewasa. Ingatkan kesusahan yang dilalui oleh keduanya menjaga kita. Mungkin masa kecil kita nakal, selalu sakit, kuat makan, suka bergaduh dengan anak orang, suka merajuk dan pelbagai perangai yang menyusahkan mereka. Ibu bapa tetap sabar membesarkan kita. Sekarang bagaimana layanan kita? Fikirkan………….. Masih ada ruang untuk kita berbakti kepada mereka. Curahkan kasih sayang kepada mereka dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.Mohon maaf kepada mereka.
Jika keduanya sudah tiada maka berbuat baiklah dengan kawan-kawan mereka atau orang yang sebaya dengan keduanya.
Anak dan Isteri
Perhatikan isteri dan anak-anak, adakah kita telah mendidik mereka supaya menjadi hamba Allah s.w.t yang soleh dan solehah. Adakah isteri dan anak perempuan kita menutup aurat dengan betul. Anak-anak lelaki tidak tinggalkan solat. Jika mereka baik ucapkan Alhamdulillah dan jika tidak, masih boleh diperbaiki dengan memohon kepada Allah s.w.t agar diberi kekuatan dan kesabaran untuk memberi tunjuk ajar.
Orang lain
Ingatkan kesalahan kita kepada orang lain. Jika lidah kita menyebabkan orang lain sakit hati atau difitnah, hendaklah kita bermohon maaf kepada mereka. Memang sukar untuk memohon maaf. Tapi ingat memohon maaf adalah sifat yang sangat mulia, jangan kuatir jika permohonan maaf kita tidak diperkenankan. Jika tangan atau kaki kita menyebabkan orang lain dizalimi maka hendaklah dimohon keampunan. Jika ada hak orang yang kita ambil hendaklah dikembalikan haknya dan mohon dimaafkan.
Kesalahan tersebut tidak perlu dicerita kepada mereka yang tidak berkenaan kerana Allah s.w.t telah merahsiakan dari pengetahuan manusia lain yang tidak terlibat. Itulah sifat Rahman dan Rahim Nya untuk memberi kesempatan untuk bertaubat. Apabila kita bertaubat, hendaklah kita berazam tidak melalukannya (perkara yang mendatangkan dosa) dan hendaklah disematkan dalam hati kebencian kepada perkara yang mendatangkan dosa.
Dicatat oleh Haji Mazlan,

0 comments: